Friday, 4 November 2016

Nilai Murni Masyarakat Jepun Ada Dalam Islam ?

Negara Jepun 『日本国』, satu nama yang tidak asing dan amat terkenal bagi rakyat Malaysia secara khususnya samada dari segi kesan sejarahnya pada tanahair dan seluruh dunia secara amnya. Berdasarkan bahasa Melayu lama, nama negara Jepun berasal daripada "Jepang" (yang kini diterapkan dalam bahasa Indonesia) dipinjamkan daripada loghat bahasa Cina.

Nama Jepun di dalam bahasa Melayu kini mungkin berasal daripada loghat bahasa Hokkien iaitu "Jit-pun". Populasi asal rakyat Jepun terdiri hampir 99% berbangsa Jepun (kecuali di Hokaido ada suku kaum Ainu) dan yang tidak bercampur dengan mana-mana bangsa lain sepertimana di Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, agama dan bahasa. 

Rakyat Jepun rata-ratanya mengakui tidak memeluk apa-apa kepercayaan dan agama kerana hampir keseluruhannya tidak beragama secara rasminya pada masa kini. Walaupun ada segelintir rakyatnya benar-benar mengamalkan agama Kristian dan sedikit bilangannya pada agama Islam pada hari ini, amalan dalam agama Buddha - Shito masih diamalkan semata-mata hanya sebagai adat budaya. Tidak hairan sekiranya rakyat Jepun melakukan ritual agama Kristian dalam perkahwinan tetapi mengamalkan upacara pengebumian mayat dalam agama Buddha, dan juga meraikan perayaan-perayaan tertentu seperti Tahun Baru di kuil-kuil Shito sebagai meminta restu dan rahmat daripada semangat roh dan dewa yang dipercayai wujud di persekitaran mereka.

Apa yang mahu dikatakan di sini ialah banyak rakyat Malaysia menyanjungi tentang budaya masyarakat Jepun dalam kehidupan seharian, terutamanya ramai rakyat Malaysia khususnya masyarakat Melayu mula mampu untuk menjejaki dan melancong ke negara Jepun sejak akhir-akhir ini. Mereka kagum dan memuji akan nilai-nilai murni yang diamalkan oleh orang Jepun dari pelbagai segi samada bidang perniagaan, keluarga, sistem persekolahan dan toleransi beragama yang dianuti oleh rakyat asing di sana. Nilai-nilai murni yang diamalkan itu telah lama ditekankan dan diajarkan oleh Islam kepada penganutnya tetapi sedihnya tidak diamalkan sepenuhnya oleh penganut Islam itu sendiri. Disebabkan itulah rakyat Jepun tidak akan mudah memeluk Islam sekiranya memandang Islam dari kaca mata penganutnya, tetapi kebanyakan yang memeluk Islam adalah kerana memandang kesucian dan ajaran yang ada dalam agama itu dengan melakukan kajiannya tersendiri (walaupun ada juga yang menganut Islam kerana dasar perkhawinan campur). Sekarang sudah ada imam masjid di Jepun terdiri daripada orang Jepun itu sendiri seperti di Masjid Camii Tokyo dan Masjid Nagoya.
"Tokyo Camii, yang juga dikenali sebagai Masjid Tokyo, sebuah masjid yang terletak bersebelahan dengan pusat budaya Turki terletak di Daerah Oyama-Cho Shibuya di Tokyo, Jepun. Ia adalah masjid terbesar di Jepun. Masjid ini pada asalnya dibina bersama-sama dengan sekolah yang bersebelahan pada 12 Mei 1938 oleh Bashkir dan Tatar, pendatang dari Rusia yang datang ke Jepun selepas Revolusi Oktober. Ia dibuat di bawah arahan Abdürreşid Ibrahim, Imam pertama masjid, dan Abdülhay Korban Ali. Tokyo Camii berukuran 734 meter persegi dan mempunyai satu tingkat bawah tanah dan tiga tingkat di atas tanah dengan keluasan lantai sebanyak 1,477 meter persegi. Kubah utamanya ialah 23.25 meter dan disokong oleh enam tiang, manakala menara yang bersebelahan tinggi 41,48 meter."
Sebagai contoh nilai-nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat Jepun dan ada persamaan dengan ajaran Islam adalah sepertimana berikut :

Budaya Masyarakat Jepun
Ajaran Dalam Islam
Amalan tunduk hormat dan memberi ucapan selamat kepada tetamu atau rakan-rakan adalah perkara yang menjadi satu kemestian seperti mengucapkan ''こんにちわ、お元気ですか『konnichiwa, ogenki desuka ? 』= Hello, apa khabar? '' Bukan setakat itu sahaja, apabila mereka sampai di rumah, mereka mengucapkan ''ただいま『Tadaima』= Saya sudah balik " kepada keluarganya di dalam rumah. Amatlah murni budaya tersebut kerana mengeratkan hubungan kekeluargaan antara mereka.

Mengalakkan penganutnya memberi salam kepada setiap orang yang dijumpai walaupun tidak mengenali orang itu. Maksud ungkapan salam iaitu Assalamualaikum ialah “selamat sejahtera ke atas kamu”.

Bagi mereka yang mendengar salam tersebut, diwajibkan menjawab salam tersebut dengan mengatakan "segala sejahtera ke atas kamu". 
Menghormati pelanggan dan menganggap mereka seperti Raja atau tidak keterlaluan dengan ungkapan “Layanlah pelanggan seperti Tuhan”. Masyarakat Jepun memang melayan tetamu dengan penuh kesungguhan terutamanya pelanggan yang datang ke kedai. Mereka dengan lantang mengucapakan “いらっしゃいませ『Irrashaimase』 = selamat datang” kepada mana-mana pelanggan dan terus melayan walaupun hanya ingin membeli segelas air mineral. Meraka akan melayan sehingga pelanggan beredar daripada premis meraka.
Memuliakan tetamu atau pelanggan yang datang ke rumah atau premis perniagaan.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah memuliakan tetamu dengan memberi layanan kepadanya. Sahabat bertanya, “Apakah layanan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Layanan istimewa selama sehari semalam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa tiga hari, layanan yang diberikan selepas tempoh itu dikira sebagai sedekah.” Muttafaqun ‘Alaihi

Menjaga kebersihan samada di kawasan rumah, premis perniagaan dan kawasan sekitar jalannya adalah satu kewajiban bagi meraka. Bayangkan di Jepun longkang-longkang di tepi rumah boleh dipelihara ikan koi di dalamnya dan berenang dengan bebas. Tetapi di Malaysia sebaliknya, dan yang paling “hebatnya” di dalam longkang di Malaysia ada yang diisi dengan mayat-mayat bayi.
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asy’ari r.a. beliau berkata: Rasulullah telah bersabda: ....Kebersihan itu sebahagian daripada iman....(Hadith riwayat al-lmam Muslim)

Berdasarkan hadis itu telah jelas ajaran Islam menitikberatkan kebersihan dalam kehidupan. Tetapi penganutnya tidak mengamalkan kebersihan sepenuhnya, sebagai contoh jika dilihat kepada tandas awam di masjid-masjid amat menyedihkan sedangkan itu adalah rumah ibadat. 

Menghormati orang tua adalah satu kewajiban. Mereka akan mendahulukan orang tua dari pelbagai pekara hinggakan kerajaannya memudahkan segala urusan dan kemudahan asas untuk senang digunakan dalam kehidupan seharian. Budaya menghormati orang yang lebih tua ini juga dipraktikan di syarikat-syarikat yang mana seniority lebih diutamakan dalam kenaikan jawatan atau pangkat (walaupun tidak relevan, tapi ianya menunjukkan masyarakat Jepun memang kuat berpegang pada amalan ini).
Di dalam Al-Quran sendiri telah menegaskan akan pentingnya menghormati orang tua sepertimana berikut : QS Al Isra: 23-24, Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang atau keduanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil”.

Menghormati kepercayaan dan agama orang lain. Mereka akan rasa kagum apabila ada orang yang meletakkan agama sebagai peraturan hidup kerana mereka merasakan mereka tidak mampu melakukannya kerana tidak dapat merasai kewujudan Tuhan dalam kehidupan seharian.

Di Jepun sahaja, banyak masjid-masjid dibenarkan dibina walaupun kawasan tersebut tidak menpunyai penganut agama Islam. Bukan setakat masjid dibenarkan dibina, gereja dan juga rumah ibadat Yahudi juga turut dibenarkan oleh kerajaan Jepun. Selain daripada rumah ibadat, tanah perkuburan juga diberi kebenaran oleh kerajaan Jepun. Berkenaan makanan halal, masyarakat Jepun juga semakin peka akan hal ini dan berusaha untuk memahami akan prosedur yang perlu dalam penyediaan makanan halal di lapangan terbang, hotel dan juga restoran.

...dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan Setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan. (QS AL An'am:108)

Al-Quran sendiri menegaskan larangan menghina dan mencaci sembahan penganut agama yang lain. Menghina adalah sifat manusia yang mengikutkan hawa nafsu. Islam melarang memaksa orang lain agama untuk memeluk Islam. Kewajibaan kita hanyalah menyampaikan, ataupun memanggil manusia ke jalan yang benar, bukan dengan paksaan, tapi dengan kerelaan. Hidayah itu adalah milik Tuhan, bukannya milik manusia itu. Hanya Dia yang mengkehendaki pada mana-mana manusia untuk membuka pintu hatinya.

Lain-lain nilai murni yang diamalkan oleh masyarakat Jepun ialah mentaliti menjaga ketepatan masa dalam setiap urusan. Menepati masa adalah satu budaya yang memang betul-betul dijaga oleh masyarakat Jepun dan akan memandang serong pada mana-mana individu yang memungkiri masa dan waktu yang dijanjikan.
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam keadaan merugi (celaka), kecuali orang-orang yang beriman, beramal shalih, saling menasehati dalam kebenaran, dan saling menasihati dalam kesabaran.” (Al ‘Ashr: 1-3)
Sedangkan Tuhan bersumpah dengan masa di dalam al-Quran menunjukkan betapa pentingnya menjaga kualiti masa. Maka sepatutnya, kita penganut Islam perlu menjaga masa dengan sebaik mungkin dan lebih baik daripada orang lain.

Ini merupakan salah satu contoh yang ada di dalam masyarakat Jepun akan nilai-nilai murni yang diamalkan, sama dengan apa yang diajarkan oleh Islam. Amatlah malu kita yang mengaku sebagai umat Muhammad tetapi tidak mengikuti ajaran yang telah diajarkan. Kita hanya menekankan keindahan dari luaran sahaja bukannya penyerapan ajaran itu pada jiwa. Menekankan kepada budaya Arab tetapi bukannya nilai Islam itu sendiri.

Amalan murni ini bukan sahaja diajar dalam agama Islam (merujuk kepada Al-Quran dan Hadith) tetapi keseluruhan agama-agama lain di dunia juga mengalakkan dan mengajar perkara yang baik kepada penganutnya. Apa yang penting ialah belajarlah dan amalkanlah apa-apa yang baik daripada mana-mana budaya di dunia ini asalkan tidak menyalahi kehendak agama. Apa yang baik kita ikuti dan apa yang negatif kita jauhi.

Anda mungkin meminati artikel ini :

No comments:

Post a Comment