Thursday, 3 November 2016

Konsep TRUST (Kepercayaan) Dalam Organisasi



Kepercayaan adalah satu ungkapan yang sering dipertuturkan dan diperdengarkan dalam hubungan sesama manusia. Istilah ini merupakan satu perkataan keramat dan mudah dilisankan melalui kata-kata. Kepercayaan adalah kata terbitan daripada percaya bermaksud yakin, beriktikad dan pasti. 

Dalam Bahasa Inggeris, kepercayaan diterjemahkan kepada TRUST. Dalam sesebuah organisasi, pengertian TRUST menpunyai pengertian tersendiri iaitu diertikan sebagai Trust (percaya) , Respect (hormat-menghormati), Unique (tersendiri) , Straight (tegas dan jujur) dan Together (berkerjasama). 


Setiap abjab T-R-U-S-T menpunyai maksud yang mendalam dan bagaimana konsep itu boleh digunakan dalam pengurusan organisasi yang melibatkan ramai pihak. Sekiranya konsep ini diterap di dalam setiap jiwa individu di organisasi tersebut, nescaya pengurusan sumber manusia akan mudah dilaksanakan.

T : Trust (Kepercayaan)
Setiap individu diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas masing-masing terutamanya seseorang ketua. Perlu amanah dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Ini adalah kerana kepercayaan yang besar dipertaruhkan oleh pihak atasan kepada individu yang dilantik sebagai ketua untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakilnya dalam sesebuah organisasi tersebut. Kepercayaan ini bukan hanya perlu dipikul oleh Ketua, ianya juga perlu dijadikan pegangan oleh semua kakitangan sokongan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang produktif dan selesa.

R : Respect (Hormat-Menghormati)
Sikap hormat menghormati antara manusia adalah satu keperluan dalam organisasi bagi melahirkan suasana kerja yang harmoni dan tiadanya masalah tikam daripada belakang. Tanpa rasa hormat, keadaan organisasi sentiasa dalam keadaan tertekan dan pekerja akan rasa tidak selesa dan ini akan menjatuhkan tahap produktiviti organisasi tersebut. Tempoh menyiapkan kerja akan berpanjangan kerana tiadanya kerjasama dalam berpasukan disebabkan rasa hormat antara individu tidak wujud.

U : Unique (Tersendiri)
Anugerah yang diberikan oleh Tuhan adalah berbeza antara satu sama lain. Disebabkan itulah setiap individu menpunyai keunikan tersendiri dan tidak akan sama antara satu sama lain. Individu diberi kepakaran yang tersendiri untuk melengkapi di dalam pasukan. Bagi membolehkan konsep lengkap-melengkapi berjaya dilakukan, keprcayaan dan hormat-menghormati perlu disemai dalam diri bagi menjayakan organisasi tersebut.
Hai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” (al-Hujuraat: 13)
Sebagai contoh, di Jepun orang gemuk tidak dianggap satu kelemahan dan ejekan. Ianya dipandang mulia dan disanjungi oleh masyarakat Jepun. Lihat sukan sumo, sebuah sukan yang diminati oleh masyarakatnya sehingga pada masa kini dan sukan sumo mula diceburi oleh rakyat bukan Jepun serta menjuarari sukan sumo setiap tahun. Inilah yang dikatakan UNIQUE kerana individu menpunyai kelebihan dan kepakaran tersendiri serta diperlukan antara satu sama lain.

S : Straight (Ketegasan)
Ketegasan dalam memberi keputusan dalam sesbuah organisasi adalah keperluan yang akan digunakan apabila berhadapan sesuatu pilihan. Ketegasan ini perlu diikuti dengan fakta dan dalil yang benar bagi memastikan ketegasan yang dilakukan itu akan memberi impak yang positif dalam perjalanan sesebuah organisasi. Ketegasan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa keperluan kerana ianya akan menjadikan diri sesorang itu bersikap BOSS bukannya seorang PEMIMPIN. Rujuk artikel perbezaan antara Boss dan Pemimpin. Klik di sini.

T : Together (Kerjasama berpasukan)
Akhir sekali sikap yang paling penting dalam organisasi adalah kerjasama berpasukan bagi menjayakan matlamat dan objektif yang dibawakan oleh organisasi. Jika tiada kerjasama, setiap kerja yang dilakukan tidak akan kesampaian dan berkubur di pertengahan jalan. Apa-apa benda boleh dilakukan jika masing-masing sama membantu walaupun seberat mana beban kerja yang diberikan.
“ Perumpamaan orang-orang mukmin dalam cinta-mencintai, kasih mengasihi dan sayang menyayangi adalah seperti satu tubuh, apabila ada salah satu anggotanya merasa sakit, maka seluruh tubuhny juga akan merasakan sakit dengan demam dan tidak dapat tidur ” (HR Muslim)
Konsep TRUST ini bukan sahaja untuk diserap dan disemai di dalam organisasi tetapi meliputi keseluruhan kehidupan manusia terutamanya dalam kehidupan berkeluarga. Insya-Allah.

Puisi : AKU BARU MENYADARINYA SEKARANG
- Puisi karya Panji Ramdana

Anda juga mungkin meminati artikel ini :
Perbezaan Antara Bos dan Pemimpin
Analisis SWOT Dalam Pentadbiran Syarikat
Perbandingan Cara Kerja Barat & Timur Jauh

Pengertian Istilah 4M 1 E

4M 1E Dalam Pengurusan 
Secara peribadi, menggunakan konsep 4M 1E merupakan ibarat "kompas asas petunjuk" kepada struktur membimbing dalam pengurusan organisasi. Segala permasalahan yang timbul boleh dikaji menggunakan panduan ini maka seorang pemimpin tidak akan tercicir mencari punca-punca dalam menyelesaikan masalah yang timbul.

Ini adalah faktor yang perlu diambil kira untuk memastikan operasi dan fungsi organisasi berjalan lancar. Penggunaan konsep 4M 1E adalah kaedah yang paling popular. 

Pengertian 4M 1E adalah sepertimana berikut :
  • Man ( sumber manusia)
  • Machine (mesin atau kelengkapan)
  • Material (sumber bahan mentah)
  • Methode (kaedah atau peraturan)
  • Environtment (persekitaran)

1. MAN 人材 SUMBER MANUSIA
Semua perkara yang berkaitan dengan sumber manusia seperti bilangan pekerja, elaun dan gaji, tahap kecekapan pekerja, pengetahuan, disiplin dalam bekerja, sikap tanggungjawab dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan sumber manusia. Sebagai contoh jelasnya agihan kerja kepada setiap individu dalam sumber manusia dan didokong dengan carta organisasi.

2. MACHINE 機械 MESIN
Melibatkan semua peralatan dan kelengkapan mesin yang digunakan dalam aktiviti kerja seharian termasuk kelengkapan peralatan tersebut seperti kerusi, meja, kenderaan. safety & work tools. Peralatan-peralatan ini hendaklah dalam keadaan terbaik bagi menjamin mutu dan kualti serta kecekapan dalam bekerja. Peralatan yang digunakan juga hendaklah selari dengan keadaan semasa dan dikemaskini mengikut peredaran semasa. Sebagai contoh menggunakan kaedah pemasaran dalam internet seperti Facebook dan Twitter adalah salah satu tools yang perlu digunakan dalam sesebuah organisasi di era globalisasi.

3. MATERIAL 材料 BAHAN MENTAH
Melibatkan bahan mentah yang digunakan dalam aktiviti kerja seharian seperti minyak pelincir, batu, gas, tanah, simen, hot premix dan sebagainya perlu diperhatikan samada memberi masalah samada pada kualiti dan kuantiti. 

4. METHODE 方法 CARA KERJA
Melibatkan semua kaedah, peraturan, arahan, panduan, memo dan mana-mana kaedah perlaksanaan yang diperlukan dalam menwujudkan sistem kerja di dalam sesebuah organisasi.

5. ENVIRONMENT 環境 PERSEKITARAN
Ini terpakai kepada suasana tempat kerja samada sesuai dan selesa serta selamat termasuklah kawalan suhu bilik, keselamatan lantai, pencahayaan dan pengudaran serta tahap kebisingan yang wujud. Suasana tempat kerja juga boleh dipengaruhi dengan tekanan daripada manusia itu sendiri seperti gangguan seksual dan juga gossip antara pekerja yang menjatuhkan rakan sekerja yang lain. 

Dengan menggunakan konsep ini dalam mengenalpasti permasalahan yang ada dalam organisasi, selalunya faktor utama yang menjadi penyebab kepada faktor-faktor lain ialah MAN (sumber manusia). Dengan itu, pemimpin yang bijaksana akan memegang faktor ini terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah-masalah yang lain.

Anda juga mungkin meminati artikel ini :





Sunday, 30 October 2016

Cameron Highlands, suatu perjalanan yang mengasyikkan.

Ladang Teh Bharat, Cameron Highlands satu trademark yang tersohor
Cameron Highlands, tempat peranginan yang tidak asing lagi di kalangan orang ramai. Cameron Highlands yang terletak di sempadan antara 3 negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Perak, boleh dihubungi menerusi 4 laluan utama iaitu daripada Lojing, Tapah, Simpang Pulai dan juga Sungai Koyan. Kesemua jalan yang menghubungkan tempat peranginan yang tersohor ini hanya boleh dihubungi menerusi jalan-jalan darat yang berbengkok-bengkok samada daripada arah utara, barat atau timur.

Perjalanan penulis kali ini menerusi utara iaitu melalui Lebuhraya Timur - Barat 2 (Lojing - Gua Musang) dan mengambil masa lebih kurang 4 jam daripada Kota Bharu. Lebuhraya ini baru sahaja siap dibina pada tahun 2006 dan mengambil kos sebanyak RM1.6 billion. Walaupun dikenali sebagai lebuhraya, namun perlu diingatkan bahawa ianya bukan seperti Lebuhraya PLUS dan kebanyakan lebuhraya yang lain kerana keadaan jalannya yang teruk dan tidak sesuai untuk memecut di dalam had kelajuan lebuhraya. Jika musim tengkujuh di Pantai Timur, dinasihatkan tidak menggunakan lebuhraya ini kerana membahaya disebabkan risiko tanah runtuh amat tinggi di sini. ‘Lojing” atau ‘Lujing” adalah satu kawasan yang kurang dikenali suatu ketika dahulu. Pada awal 1980an, melalui aktiviti  ‐  aktiviti pembalakan, Lojing mula menjadi sebutan ramai. Lojing terletak di barat daya negeri Kelantan, berkeluasan 181,700 hektar (1,817 kilometer persegi).

Jajahan Kecil Lojing kira‐kira ¼ dari keluasan jajahan Gua Musang keseluruhan. Berketinggian 610 meter hingga 1,500 meter dari paras laut. Suhu antara 18C hingga 25C. Sumber air untuk kegunaan penduduk di Cameron Highlands telah diambil daripada Sungai Plau’ur di Lojing, Kelantan mulai tahun 1936 lagi.Denai denai jalan pembalakan merupakan asas jalan pertama untuk ke kawasan Lojing dan Cameron Highlands.

Kedudukan Cameron Highlands antara 3 buah negeri
Penulis tidak sempat untuk mengambil permandangan sekitar perjalanan di lebuhraya ini kerana menumpu kepada pemanduan kenderaan kerana keadaan jalan yang berlubang, berliku-liku serta banyak kerja-kerja penyenggaraan jalan masih lagi dilakukan sepanjang lebuhraya ini. Apa yang menarik di sini hanyalah kelihatan rumah-rumah Orang Asli yang masih beratapkan atap rumbia, hutan belantara, ladang kelapa sawit dan juga keadaan bukit bukau yang menghijau masih lagi kelihatan di kiri kanan walaupun aktiviti pembalakan rancak dilakukan di sepanjang laluan lebuhraya ini. Harapan penulis agar aktiviti pembalakan ini dijalankan secara terkawal dan ditanam kembali kawasan pembalakan tersebut bagi mengimbangi kegiatan ekonomi yang diluluskan oleh kerajaan negeri. Selesai sahaja memandu naik ke arah Cameron Highlands, penulis berhenti rehat seketika di kawasan rehat di Masjid Lojing yang disediakan oleh kerajaan Negeri Kelantan. Tempat yang sesuai bagi pengunjung daripada arah Gua Musang untuk rehat seketika sebelum sambung kembali perjalanan.

Masjid Lojing
Masjid Lojing
Keadaan kawasan masjid ini dilengkapi dengan kemudahan parkir yang mencukupi dan ada disediakan tandas awam. Memang bersih dan dijaga dengan rapi tetapi terdapat masalah lalat-lalat berterbangan di sini. Penulis tidak pasti punca kehadiran lalat-lalat tersebut yang memang cukup merimaskan pengunjung di sini. Tujuan kerajaan negeri mewujudkan masjid ini sebagai tempat persinggahan bagi pelancong tetapi sekiranya masalah lalat tidak diatasi, ianya akan menjejaskan imej Negeri Kelantan sebagai Negeri Serambi Mekah. Rekabentuk masjid memang cukup ringkas tetapi menarik dan cantik.

Gerai jualan di Berinchang
Brinchang
Ini adalah suasana gerai-gerai jualan yang terdapat di Brinchang, yang mana merupakan kemuncak tertinggi di Cameron Highlands. Keadaan masa ini apabila penulis sampai dalam keadaan hujan renyai-renyai. tidak dapat nak fokuskan pengambilan gambar sekitar ini kerana masalah cuaca dan terlalu ramai orang. Suhu yang direkodkan pada masa ini sekitar 20'Celcius. Perubahan yang ketara di sini ialah majlis perbandaran tempatan sedang membina kawasan parkir di sekitar gerai-gerai ini. Maka, tidak lama lagi, pengunjung tidak akan lagi risau akan tempat meletak kenderaan. Kedudukan gerai-gerai ini terletak berhampiran dengan hotel-hotel seperti Equotarial / Copthorne Hotel dan juga Kea Farm Hotel. Maka pengunjung yang menginap di hotel ini hanya perlu berjalan kaki ke sini. Antara hasil jualan yang ada di sini ialah hasil tani penduduk tempatan, cenderahati, baju-baju dan juga terdapat buah-buahan. Buah durian tempatan apabila ditanya harganya oleh penulis berharga RM10.00 sekilo. Wah, mahalnya. Baik beli di luar Cameron Highlands. Kemungkinan harga yang diletakkan pada waktu ini mahal kerana penulis datang ke sini waktu musim cuti persekolahan dan cuti perayaan Deepavali.

Bandar Berinchang
Sekitar tapak Pasar Malam Berinchang
Jarak perjalanan daripada Hotel Equotarial /  Capthone ke tapak pasar malam di bandar Berinchang hanyalah berjarak 4km. Tetapi masa yang diambil hampir sejam dengan kenderaan kerana keadaan lalulintas trafik teruk dan jammed. Begitulah keadaan trafik di sini apabila musim percutian. Pastikan anda mengisi minyak penuh dalam kereta untuk elakkan kehabisan minyak. Hasil jualan yang dijual di sini juga hampir sama seperti tadi maka penulis tidak singgah di pasar malam ini kerana nak menuju terus ke rumah rehat yang telah ditempah di bandar Tanah Rata. Perjalanan diteruskan dengan hanya melihat gelagat manusia dan betullah pepatah Melayu ada mengatakan "makan-makan angin" kerana penulis dan keluarga hanya makan angin di dalam kenderaan pacuan 4 roda sahaja sepanjang tempoh ke rumah rehat. Tapi pada masa ini lah penulis dan keluarga dapat menghayati hubungan kekeluargaan sepanjang tempoh tersebut walaupun stress dengan karenah anak-anak yang nakal dan hyperactive. Hahahahaha.....

Tanah Rata
Tanah Rata
Keadaan bandar kecil ini sama sepertimana bandar-badar kecil yang lain di Malaysia. Bandar ini merupakan pusat pentadbiran bagi Daerah Cameron Highlands. Bandar yang menjadi keperluan utama bagi penduduk sekitar kawasan ini kerana merupakan tempat adanya kemudahan hospital, balai polis, kedai-kedai runcit dan juga tempat perhentian bas awam dan juga teksi. Terdapat juga disediakan pusat penerangan perlancongan di sini, maka jika mahukan penjelasan untuk tempat-tempat menarik, carilah pusat penerangan ini yang terletak bersebelahan dengan Orchid Food Court, Jalan Camelia dan juga tempat meletak bas ekspress.



Ladang Teh Bharat
Ladang Teh Bharat, Tanah Rata
Jika datang ke sini, tidak sah perjalanan anda jika tidak berkunjung ke ladang teh. Pengunjung boleh menikmati hidangan teh ala-ala Inggeris sambil makan sekeping kek keju bersama keluarga. Harga untuk 'masala tea" saiz pot besar untuk 6 cawan kecil berharga RM26.00. Bolehlah sekali skalia berbelanja untuk menikmati hidangan ini sambil menghirup bau-bau te segar daripada ladang. Ladang yang terletak betul-betul di tepi jalan utama antara Pekan Ringlet dan Tanah Rata, kira-kira 12 km dari Ringlet dan 3 km dari Tanah Rata. Juga dikenali sebagai Cameron Valley, ladang seluas 1600 ekar ini terletak sekitar 3km dari Tanah Rata dan lebih mudah untuk anda lawati berbanding ladang Boh kerana ia berdekatan dengan jalan besar.

Penutup
Penulis bersama keluarga.
Itulah sedikit coretan perjalanan ringkas melawat ke Cameron Highlands bersama-sama keluarga. Walaupun trip melancong pada kali ini dalam keadaan kelam kabut dengan perangai anak-anak kecil, namum ianya meninggalkan kenangan yang terpahat di hati sampai bila-bila. Pada waktu ini, kita melihat ianya sebagai satu pengalaman yang meletihkan tetapi pada hari tua nanti, kenangan ini sentiasa segar dalam ingatan, melihat dan merasai penatnya menguruskan anak-anak sehingga dewasa nanti.

Pengalaman sentiasa mengajar erti kehidupan. Tiada yang silap dan tiada yang salah di sini kerana ianya sentiasa mengajar kita untuk menjadi matang dan bijak dari hari ke hari.

Salam musafir papa daripada Cameron Highlands.
28 ~ 30hb Oktober 2016.

Anda mungkin meminati artikel ini :







Thursday, 27 October 2016

Faktor - Faktor Asas Sebuah Organisasi

Pendahuluan
Gambar Kakitangan Sebuah Unit Kecil
Menguruskan sesebuah organisasi bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah kerana melibatkan pelbagai ragam dan karenah dalam menguruskan sumber manusia. Bagi sesetengah pihak, apabila diberi mandat menguruskan organisasi adalah sesuatu yang membanggakan kerana diberi kepercayaan sedemikian rupa oleh pihak pengurusan. Ada beberapa faktor yang perlu dilihat dan diberi perhatian dalam menguruskan organisasi samada berskala kecil atau besar. 
Faktor-faktor tersebut yang perlu diberi pertimbangan ialah :
  1. Carta Organisasi
  2. Matlamat dan Tujuan Organisasi
  3. Penetapan Sumber Manusia
  4. Senarai Tugasan Pekerja
  5. Analisis Kedatangan Pekerja
  6. Peruntukan Kewangan
  7. Kebajikan Pekerja
Perkara-perkara di atas menjadi penyebab utama dalam melicinkan pentadbiran sesebuah organisasi. Jika pihak pengurusan leka dengan salah satu perkara di atas, operasi dalam sesebuah sistem pengurusan akan berada di dalam keadaan tidak stabil, kelam kabut dan memeningkan kepala semua pihak yang mana boleh menjatuhkan prestasi dan kedudukan sesebuah Jabatan / Syarikat.

1. Carta Organisasi
Carta keramat ini amat penting bagi sesebuah Jabatan / Syarikat. Dengan wujudnya carta ini, pihak pengurusan dapat mengetahui bilangan sebenar pekerja yang diperlukan dan kedudukan dalam organisasi tersebut. Dengan itu, tiadanya lebihan atau kekurangan pekerja yang boleh mengakibatkan implikasi kewangan (jika lebih) dan bebanan kerja (jika kurang) dalam organisasi itu. Sekiranya carta organisasi masih belum ditetapkan, pihak pengurusan hendaklah membincangkan perkara ini dengan tekun dan bersungguh-sungguh bagi mewujudkan carta ini bagi mengatur kedudukan setiap pekerja. Jangan dijadikan carta ini semata-mata tujuan dokumentasi sahaja kerana dengan carta ini lah yang menjadi tunjang dan asas kelangsungan aktiviti dalam Jabatan / Syarikat. Carta organisasi ini perlu dikemaskinikan dari masa ke semasa bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa, sekurang-kurangnya setahun sekali.


2. Matlamat & Tujuan
Setiap Jabatan / Syarikat perlu menetapkan matlamat dan tujuan bagi membolehkan hala tuju ditetapkan dan digerakkan bagi mencapai cita-cita tersebut. Setiap bahagian dalam sesebuah Jabatan / Syarikat boleh meletakkan matlamatnya tersendiri tetapi hendaklah selari dengan matlamat asal syarikat. Maltlamat dan tujuan ini boleh dibincangkan bersama-sama dengan pihak yang terlibat sebelum penubuhan organisasi dalam Jabatan / Syarikat. Dengan ini, semua pihak akan sama-sama berganding bahu dalam menjayakan matlamat dan tujuan Jabatan / Syarikat itu nanti.


3. Penetapan Sumber Manusia
Jumlah bilangan sumber manusia hendaklah mencukupi dalam menjayakan operasi sesebuah organisasi. Sekiranya terlalu banyak bilangan pekerja, ianya akan mengakibatkan implikasi kewangan, dan sekiranya tidak mencukupi ianya akan mengakibatkan terjejas operasi organisasi. Perlu ada penyelarasan yang sesuai bagi mengimbangi keperluan sumber manusia. Selain daipada kepentingan bilangan pekerja, sumber manusia ini juga perlu diberi latihan yang mencukupi bagi membolehkan kerja dilakukan dalam tahap yang terbaik dan sempurna.


4. Senarai Tugas
Tetapkan senarai kerja dan tugasan bagi setiap pekerja bagi membolehkan pemantauan dilakukan dan kerja dilakukan dengan seimbang. Tidak akan timbul masalah pertikaian kerja sekiranya ketetapan dilakukan. Dengan kata lain, ketetapan tugas-tugas hakiki perlu jelas disamping kerja-kerja yang diarahkan dari masa ke semasa. Seelok-eloknya pada bilangan terakhir senarai tugas tersebut diletakkan ayat " Menjalankan arahan kerja dari masa ke semasa berpandukan arahan daripada pegawai atasan / pihak pengurusan Jabatan atau Syarikat", bagi mengelakkan pertikaian yang "ini bukan kerja saya" oleh pekerja bawah seliaan Jabatan / Syarikat.


5. Analisis Kedatangan Pekerja
Kedatangan pekerja perlu dipantau dan dibuat analisis setiap bulanan. Ini adalah untuk mengesan mana-mana pekerja yang sering bermasalah dari segi kedatangan. Masalah kedatangan boleh menyebabkan produktivit kerja terganggu. Masalah kedatangan yang sering timbul adalah apabila pekerja sering mengambil cuti sakit. Kekerapan cuti sakit boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu samada benar-benar sakit atau berpura-pura sakit. Pihak pengurusan syarikat boleh menilai keadaan trend cuti sakit ini apabila melihat dan meneliti daripada analisis kedatangan. Selain daripada cuti sakit, pekerja yang sering datang lewat hendaklah dipantau. Pihak pengurusan boleh meletakkan "flexible late time" bagi memberi kelonggaran kepada pekerja untuk datang lewat. Analisis yang dijalankan terhadap kedatangan pekerja ini dilakukan untuk memantau tahap disiplin pekerja. Pastikan tindakan disiplin diambil samada secara lisan dan juga secara bertulis bagi tujuan rekod. Dengan disiplin yang tinggi barulah produktiviti pekerja akan meningkat dan dapat berdaya saing dengan lain-lain Jabatan / Syarikat.


6. Peruntukan Kewangan
Kewangan memainkan peranan penting dalam setiap pergerakan organisasi. Dengan adanya ketetapan dalam peruntukan, pihak pengurusan boleh mengawasi perbelanjaan yang dilakukan berdasarkan perancangan perbelanjaan yang ditetapkan setiap tahun. Jangan sama sekali menjalankan operasi sesebuah Jabatan / Syarikat tanpa perancangan kewangan kerana ianya boleh mengakibatkan operasi berjalan tanpa kawalan dan boleh menyebabkan kerugian atau kurangnya keuntungan dicapai. Jabatan / Syarikat juga boleh merancang keperluan yang dikehendaki sepanjang tahun dan samada mencukupi atau perlu penjimatan. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, jumlah peruntukan yang diterima mungkin akan berubah pada bila-bila masa dan ini boleh dilakukan dengan menyelaras semula peruntukan yang diterima. Rancang terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa kerja dai dalam sesebuah organisasi.


7. Kebajikan Pekerja
Pekerja ibarat aset Jabatan / Syarikat yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Dengan pengalaman yang bertambah dari masa ke semasa menyebabkan nilai pekerja semakin tidak dapat diukur dengan wang ringgit atau upah yang diberikan. Oleh yang demikian, kebajikan pekerja hendaklah diambil berat bukan hanya dengan pemberian upah atau bonus tetapi lebih kepada keperluan pekerja di tempat kerja itu sendiri. sebagai contoh, kemudahan tempat solat, makan, penyediaan baju uniform kerja dan melakukan aktiviti tahunan dalam Hari keluarha dan sebagainya dengan pekerja dapat membantu meningkatkan moral dan semangat pekerja. Sekiranya suasana di tempat kerja dalam keadaan ''happy trend'', pekerja akan bersemangat untuk membantu Jabatan / Syarikat supaya terus bertambah maju kerana menganggap sebahagian daripada hidup mereka.

Anda mungkin meminati artikel ini :

Tuesday, 25 October 2016

Dilemma Penjawat Awan; Antara Kerjaya atau Keluarga

Kaedah Sistem Pertukaran Tempat Kerja, Satu Tekanan ?

Gambar Hiasan
Penjawat awam merupakan sumber manusia utama bagi menggerakkan sektor perkhidmatan jabatan kerajaan kepada rakyat. Bilangan penjawat awam yang berjumlah sekitar 1.6 juta orang merangkumi pelbagai skim perkhidmatan dan bertaburan di seluruh negara, samada di peringkat Negeri ataupun Persekutuan. Membina kerjaya di dalam sektor perkhidmatan awam ini amat bagus kerana ianya meliputi pelbagai bidang dan kepakaran namun perkara yang sering menghantui penjawat awam adalah pada konsep amalan bertukar tempat kerja samada jarak jauh atau dekat yang sering berlaku dari masa ke semasa.

Inilah yang menjadi dilemma atau taboo kepada penjawat awam. Pertukaran ini dilakukan atas dasar samada kenaikan pangkat, proses wajib bertukar ataupun atas sebab-sebab disiplin. Dalam perkara melibatkan disiplin, kita ketepikan dalam perbincangan ini. Hal yang ingin dibincangkan ialah adakah kewajaran proses pertukaran ini dilakukan dalam semua disiplin dan skim, serta mengikut mekanisme yang betul dan bersesuaian ?

Ada sebahagian Jabatan Kerajaan mewajibkan bertukar tempat kerja dalam jangka masa tertentu antara tempoh 3 atau 4 tahun sekali. Perlunya satu mekanisme baru dan kajian menyeluruh dilakukan samada wajar atau tidak. Manakah tidaknya apabila penjawat awam terpaksa mengorbankan keluarga kerana tugas yang diamanahkan. Inilah dimaksudkan dengan "di telan mati emak,diluah mati bapak". Tak ikut arahan, kata melanggar arahan Jabatan. Ikut arahan Jabatan, dikatakan tidak hiraukan keluarga tersayang. 

Kesannya pada penjawat awam meliputi dari segi psikologi, jiwa dan aspek kewangan penjawat itu sendiri sepertimana contoh di bawah ini :
  1. Produktiviti penjawat awam merosot kerana terpisah jauh daripada keluarga. Asyik teringat anak dan isteri di kampung. Nak balik seminggu sekali terasa macam setahun lamanya.
  2. Nilai kekeluargaan semakin terhakis antara ibu bapa - anak dan suami - isteri. Walaupun telefon boleh bergayut lama tidak akan sama dengan berjumpa dari mata ke mata dan dari hati ke hati. 
  3. Tidak dapat menentukan tempat tinggal yang tetap kerana ada konsep sesetengah Jabatan Kerajaan mengamalkan pertukaran wajib dalam tempoh tertentu. Macam mana nak buat rumah atau beli rumah jika asyik berpindah randah. Jika dekat okaylah tetapi bukannya pegawai tersebut dapat tentukan kecuali ada "saluran khas". Keputusan untuk membuat pinjaman perumahan adalah sesuatu yang sukar apabila di mana patutnya rumah dibeli apabila tempat kerja asyik berubah sepanjang perkhidmatan.
  4. Anak-anak yang bersekolah terpaksa turut berpindah. Ini menjejaskan perkembangan dalam pendidikan anak-anak. Tidak boleh fokus kepada pelajaran apabila bertukar suasana yang asing bagi mereka. Perlu tempoh tertentu untuk menyesuaikan diri. 
  5. Tertekan dengan kos perpindahan kerana perlu menanggung kos tersebut walaupun dapat dituntut (meskipun tidak menyeluruh). Kos menyewa di Lembah Klang sahaja memerlukan bayaran deposit dalam lingkungan RM4,000++ sekiranya sewa rumah berharga RM1,000++ sebulan. 
  6. Sanggup berulang-alik samada harian ataupun mingguan samada menggunakan pengangkutan awam atau pun kenderaan persendirian. Hal ini menjadi satu kelaziman dan tiada kualiti masa yang sebenar untuk berehat di samping keluarga. Asyik tidur dalam bas ekspress ajer setiap hujung minggu dan apabila sampai sudah keletihan. Kelaziman penjawat awam sebelah Pantai Timur akan selalu berulang menggunakan bas ekspress. Iyalah, mana mampu naik kapal terbang tiap-tiap hujung minggu.
Oleh yang sebab demikian, ada segelintir penjawat awam sanggup berhenti kerja kerana tiada pilihan disebabkan masalah-masalah di atas tadi kesan daripada konsep pertukaran yang diamalkan. Bagi yang tiada pilihan, terpaksa menempuh keadaan tersebut dari hari ke hari. Walaupun nampak riang di tempat kerja, tetapi perasaan di dalam hati tiada siapa yang mengerti. Saban hari menunggu hujung minggu untuk kembali bertemu ke pangkuan keluarga yang jauh menanti.

Sudah tiba masanya pihak berkenaan mengkaji balik konsep dan mekanisme pertukaran tempat kerja penjawat awam. Penjawat awam bukannya sebuah robot yang boleh diprogram dengan semudah itu. Jika konsep pertukaran ini hendak dilakukan, hendakla secara menyeluruh. Bukannya hanya sesetengah golongan penjawat awam sahaja yang terikat terhadap sistem ini. Permudahkanlah sistem dalam perkhidmatan awam bukan sahaja untuk orang awam itu sendiri tetapi golongan perlaksana penjawat awam juga memerlukan ihsan dan belas agar jiwa dan perasaan mereka sentiasa terjaga dan dipandang berat.


Di bawah ini merupakan cadangan yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh semua pihak dan mengikut kesesuaian semasa. Cadangan-cadangan tersebut ialah :

  1. Melakukan pertukaran suka sama suka antara penjawat awam.
  2. Menambah bilangan kuarters kerajaan untuk setiap negeri dan dikongsi dengan semua jabatan bagi meringankan bebanan apabila terpaksa bertukar tempat kerja. Hal ini boleh diambil seperti kemudahan kuarters polis yang ada di setiap negeri.
  3. Sekurang-kurangnya mewujudkan peluang bagi pegawai mengadakan perbincangan sekiranya pertukaran wajib dilakukan.
  4. Mengkaji keperluan konsep pertukaran samada releven atau tidak di setiap Jabatan. 
  5. Kos perpindahan ditanggung sepenuhnya dan diberi imbuhan tertentu bagi bebanan perpindahan.
  6. Adakan survey atau kaji seidik di kalangan pegawai di mana tempat bertugas yang dikehendaki dan daripada kajian ini, penyusunan tenaga kerja dapat dilakukan dari masa ke semasa.
  7. Hapuskan konsep wajib bertukar bagi mana-mana Jabatan yang tidak memerlukan konsep ini. Permudahkanlah sistem ini agar lebih memanafaatkan semua penjawat awam.
Ini merupakan pandangan dan cadangan peribadi sahaja dan tidak mewakili keseluruhan penjawat awam. Sekiranya ada cadangan, dialu-alukan tinggalkan komen anda di ruangan di bawah.

Duit dan harta boleh dicari tetapi kenangan dan memori bersama dengan anak-anak serta keluarga tidak dapat boleh diputar-balik ke masa lalu. Mereka semakin membesar dan adakah apabila tiba waktu pencen sahaja baru ingin menghabiskan masa bersama keluarga? Tepuk dada tanya selera masing-masing. Dalam sektor perkhidmatan awam ini terdapat banyak pakar-pakar yang dapat membincangkan dan mengkaji balik kesesuaian sistem pertukaran yang diamalkan selama ini. Ubahlah sistem tersebut untuk kebajikan dan kepentingan bersama, bukannya kepentingan sebelah pihak sahaja.