Sunday, 30 October 2016

Cameron Highlands, suatu perjalanan yang mengasyikkan.

Ladang Teh Bharat, Cameron Highlands satu trademark yang tersohor
Cameron Highlands, tempat peranginan yang tidak asing lagi di kalangan orang ramai. Cameron Highlands yang terletak di sempadan antara 3 negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Perak, boleh dihubungi menerusi 4 laluan utama iaitu daripada Lojing, Tapah, Simpang Pulai dan juga Sungai Koyan. Kesemua jalan yang menghubungkan tempat peranginan yang tersohor ini hanya boleh dihubungi menerusi jalan-jalan darat yang berbengkok-bengkok samada daripada arah utara, barat atau timur.

Perjalanan penulis kali ini menerusi utara iaitu melalui Lebuhraya Timur - Barat 2 (Lojing - Gua Musang) dan mengambil masa lebih kurang 4 jam daripada Kota Bharu. Lebuhraya ini baru sahaja siap dibina pada tahun 2006 dan mengambil kos sebanyak RM1.6 billion. Walaupun dikenali sebagai lebuhraya, namun perlu diingatkan bahawa ianya bukan seperti Lebuhraya PLUS dan kebanyakan lebuhraya yang lain kerana keadaan jalannya yang teruk dan tidak sesuai untuk memecut di dalam had kelajuan lebuhraya. Jika musim tengkujuh di Pantai Timur, dinasihatkan tidak menggunakan lebuhraya ini kerana membahaya disebabkan risiko tanah runtuh amat tinggi di sini. ‘Lojing” atau ‘Lujing” adalah satu kawasan yang kurang dikenali suatu ketika dahulu. Pada awal 1980an, melalui aktiviti  ‐  aktiviti pembalakan, Lojing mula menjadi sebutan ramai. Lojing terletak di barat daya negeri Kelantan, berkeluasan 181,700 hektar (1,817 kilometer persegi).

Jajahan Kecil Lojing kira‐kira ¼ dari keluasan jajahan Gua Musang keseluruhan. Berketinggian 610 meter hingga 1,500 meter dari paras laut. Suhu antara 18C hingga 25C. Sumber air untuk kegunaan penduduk di Cameron Highlands telah diambil daripada Sungai Plau’ur di Lojing, Kelantan mulai tahun 1936 lagi.Denai denai jalan pembalakan merupakan asas jalan pertama untuk ke kawasan Lojing dan Cameron Highlands.

Kedudukan Cameron Highlands antara 3 buah negeri
Penulis tidak sempat untuk mengambil permandangan sekitar perjalanan di lebuhraya ini kerana menumpu kepada pemanduan kenderaan kerana keadaan jalan yang berlubang, berliku-liku serta banyak kerja-kerja penyenggaraan jalan masih lagi dilakukan sepanjang lebuhraya ini. Apa yang menarik di sini hanyalah kelihatan rumah-rumah Orang Asli yang masih beratapkan atap rumbia, hutan belantara, ladang kelapa sawit dan juga keadaan bukit bukau yang menghijau masih lagi kelihatan di kiri kanan walaupun aktiviti pembalakan rancak dilakukan di sepanjang laluan lebuhraya ini. Harapan penulis agar aktiviti pembalakan ini dijalankan secara terkawal dan ditanam kembali kawasan pembalakan tersebut bagi mengimbangi kegiatan ekonomi yang diluluskan oleh kerajaan negeri. Selesai sahaja memandu naik ke arah Cameron Highlands, penulis berhenti rehat seketika di kawasan rehat di Masjid Lojing yang disediakan oleh kerajaan Negeri Kelantan. Tempat yang sesuai bagi pengunjung daripada arah Gua Musang untuk rehat seketika sebelum sambung kembali perjalanan.

Masjid Lojing
Masjid Lojing
Keadaan kawasan masjid ini dilengkapi dengan kemudahan parkir yang mencukupi dan ada disediakan tandas awam. Memang bersih dan dijaga dengan rapi tetapi terdapat masalah lalat-lalat berterbangan di sini. Penulis tidak pasti punca kehadiran lalat-lalat tersebut yang memang cukup merimaskan pengunjung di sini. Tujuan kerajaan negeri mewujudkan masjid ini sebagai tempat persinggahan bagi pelancong tetapi sekiranya masalah lalat tidak diatasi, ianya akan menjejaskan imej Negeri Kelantan sebagai Negeri Serambi Mekah. Rekabentuk masjid memang cukup ringkas tetapi menarik dan cantik.

Gerai jualan di Berinchang
Brinchang
Ini adalah suasana gerai-gerai jualan yang terdapat di Brinchang, yang mana merupakan kemuncak tertinggi di Cameron Highlands. Keadaan masa ini apabila penulis sampai dalam keadaan hujan renyai-renyai. tidak dapat nak fokuskan pengambilan gambar sekitar ini kerana masalah cuaca dan terlalu ramai orang. Suhu yang direkodkan pada masa ini sekitar 20'Celcius. Perubahan yang ketara di sini ialah majlis perbandaran tempatan sedang membina kawasan parkir di sekitar gerai-gerai ini. Maka, tidak lama lagi, pengunjung tidak akan lagi risau akan tempat meletak kenderaan. Kedudukan gerai-gerai ini terletak berhampiran dengan hotel-hotel seperti Equotarial / Copthorne Hotel dan juga Kea Farm Hotel. Maka pengunjung yang menginap di hotel ini hanya perlu berjalan kaki ke sini. Antara hasil jualan yang ada di sini ialah hasil tani penduduk tempatan, cenderahati, baju-baju dan juga terdapat buah-buahan. Buah durian tempatan apabila ditanya harganya oleh penulis berharga RM10.00 sekilo. Wah, mahalnya. Baik beli di luar Cameron Highlands. Kemungkinan harga yang diletakkan pada waktu ini mahal kerana penulis datang ke sini waktu musim cuti persekolahan dan cuti perayaan Deepavali.

Bandar Berinchang
Sekitar tapak Pasar Malam Berinchang
Jarak perjalanan daripada Hotel Equotarial /  Capthone ke tapak pasar malam di bandar Berinchang hanyalah berjarak 4km. Tetapi masa yang diambil hampir sejam dengan kenderaan kerana keadaan lalulintas trafik teruk dan jammed. Begitulah keadaan trafik di sini apabila musim percutian. Pastikan anda mengisi minyak penuh dalam kereta untuk elakkan kehabisan minyak. Hasil jualan yang dijual di sini juga hampir sama seperti tadi maka penulis tidak singgah di pasar malam ini kerana nak menuju terus ke rumah rehat yang telah ditempah di bandar Tanah Rata. Perjalanan diteruskan dengan hanya melihat gelagat manusia dan betullah pepatah Melayu ada mengatakan "makan-makan angin" kerana penulis dan keluarga hanya makan angin di dalam kenderaan pacuan 4 roda sahaja sepanjang tempoh ke rumah rehat. Tapi pada masa ini lah penulis dan keluarga dapat menghayati hubungan kekeluargaan sepanjang tempoh tersebut walaupun stress dengan karenah anak-anak yang nakal dan hyperactive. Hahahahaha.....

Tanah Rata
Tanah Rata
Keadaan bandar kecil ini sama sepertimana bandar-badar kecil yang lain di Malaysia. Bandar ini merupakan pusat pentadbiran bagi Daerah Cameron Highlands. Bandar yang menjadi keperluan utama bagi penduduk sekitar kawasan ini kerana merupakan tempat adanya kemudahan hospital, balai polis, kedai-kedai runcit dan juga tempat perhentian bas awam dan juga teksi. Terdapat juga disediakan pusat penerangan perlancongan di sini, maka jika mahukan penjelasan untuk tempat-tempat menarik, carilah pusat penerangan ini yang terletak bersebelahan dengan Orchid Food Court, Jalan Camelia dan juga tempat meletak bas ekspress.



Ladang Teh Bharat
Ladang Teh Bharat, Tanah Rata
Jika datang ke sini, tidak sah perjalanan anda jika tidak berkunjung ke ladang teh. Pengunjung boleh menikmati hidangan teh ala-ala Inggeris sambil makan sekeping kek keju bersama keluarga. Harga untuk 'masala tea" saiz pot besar untuk 6 cawan kecil berharga RM26.00. Bolehlah sekali skalia berbelanja untuk menikmati hidangan ini sambil menghirup bau-bau te segar daripada ladang. Ladang yang terletak betul-betul di tepi jalan utama antara Pekan Ringlet dan Tanah Rata, kira-kira 12 km dari Ringlet dan 3 km dari Tanah Rata. Juga dikenali sebagai Cameron Valley, ladang seluas 1600 ekar ini terletak sekitar 3km dari Tanah Rata dan lebih mudah untuk anda lawati berbanding ladang Boh kerana ia berdekatan dengan jalan besar.

Penutup
Penulis bersama keluarga.
Itulah sedikit coretan perjalanan ringkas melawat ke Cameron Highlands bersama-sama keluarga. Walaupun trip melancong pada kali ini dalam keadaan kelam kabut dengan perangai anak-anak kecil, namum ianya meninggalkan kenangan yang terpahat di hati sampai bila-bila. Pada waktu ini, kita melihat ianya sebagai satu pengalaman yang meletihkan tetapi pada hari tua nanti, kenangan ini sentiasa segar dalam ingatan, melihat dan merasai penatnya menguruskan anak-anak sehingga dewasa nanti.

Pengalaman sentiasa mengajar erti kehidupan. Tiada yang silap dan tiada yang salah di sini kerana ianya sentiasa mengajar kita untuk menjadi matang dan bijak dari hari ke hari.

Salam musafir papa daripada Cameron Highlands.
28 ~ 30hb Oktober 2016.

Anda mungkin meminati artikel ini :







No comments:

Post a Comment