Thursday, 6 October 2016

Aku Seorang Musafir Papa

Salam Pengenalan ......

Perjalanan hidup bermula daripada alam rahim, berpindah ke alam nyata dan kesudahannya akan berakhir di penghujung hayatnya. Ianya lebih dikenali daripada peringkat ke peringkat iaitu daripada awal berpindah ke pertengahan dan kembali kepada pengakhiran yang sebenar dan kekal selamanya. 

Ramai manusia mengaku mengenali dirinya sendiri, tidak kira apa bangsa, agama, keturunan atau pun jua pangkat dan jawatan yang disandarnya. Namun, diri hanya mengenal atas namanya atau asmanya sahaja. Tidak pernah mengenali dirinya sendiri dan apa yang tersimpan di dalam dirinya. Seringkali berlaku pertelingkahan dalam diri, bergelut mencari kebenaran yang azali dan sejati. Di manakah silapnya itu ? Pada akal atau pada usaha yang tidak mencukupi ? 

Manusia hanyalah seorang musafir papa yang bergerak dari masa ke masa di samping tidak sedar akan kelakuan, perbuatan atau afaalnya yang sering dipertontonkan kepada dirinya sendiri. Apabila bersandarkan kepada bukan hak yang sebenar, akal sering kali menjadi keliru dan bergelut hinggakan menyesatkan diri perjalanan manusia. Bersandarkanlah kepada siapa pemilik sebenar dan rasa merasai keinginan atau kehendak yang wujud itu bagi tujuan menzahirkan kepada cerita dan drama dalam kehidupan sehari-hari. 

Lihatlah dengan mata hati, dan bukannya dengan pancaindera yang ada pada zahiriah manusia kerana ianya hanya menjadi hijab dan dinding kepada kesucian yang sudah lama wujud dalam diri sendiri. Bak ibarat kata-kata hikmah "kehidupan ini seolah-olah wayang kulit dilakonkan oleh Tok Dalang". Siapakah patut dipertanggungjawabkan di atas semua cerita yang ditayangkan itu? Pada patung kulit itu kah atau pada si pelaku Tok Dalang itu kah ? 

Tontonilah dan rasailah dengan mata hati dan nescaya akan terserlah dalam diri manakah yang patut manusia dikenali kerana ianya hanyalah seorang musafir papa sepanjang masanya.

سالم فرقينالن

~ 5hb Okt 2016 ~


No comments:

Post a Comment