Gejala fitnah makin menular di dalam alam maya media sosial seperti di Facebook, Twitter, blog dan sebagainya. Fitnah ini merangkumi pelbagai perkara melibatkan diri personaliti manusia, politik, jabatan dan agensi kerajaan serta keji-kejian terhadap budaya dan bangsa tertentu. Sebagai contoh terbaru adalah tentang isu penganiayaan anak yatim, mangsa kemalangan Lebuhraya DUKE, yang mana tuduh menuduh berlaku antara satu sama lain dan menjadi viral di media sosial Facebook.
Ramai netizen mula menuduh pihak tertentu dan melomparkan kata-kata kesat di dalam media massa. Dalam undang-undang sivil sekalipun, selagi tiada bukti terhadap Orang Kena Tuduh (OKT), individu tersebut belum lagi dapat disabitkan kesalahannya. Adakah semua netizen mengetahui cerita dan berita sebenar ? Hanya meluahkan perasaan mengikut nafsu semata-mata. Ingatlah wahai netizen di media sosial, jangan mudah sangat menpercayai cerita dan berita di dalam media sosial ini kerana anda sebenarnya hanya menyemarakkan api kebencian antara satu sama lain. Jika tidak tahu cerita sebenar, berdiam diri atau berilah komen yang membina. Bukannya membinasakan diri mangsa dan diri anda sendiri.
Di dalam mencari fakta dan kebenaran, perlulah bijak netizen meneliti setiap berita dan cerita yang terpapar di media sosial. Hanya diri kamu sahaja dilantik sebagai anggota Lembaga Penapisan Filem di dalam diri sendiri. Jika inginkan khabar buruk, maka diri sendiri akan mengundang khabar buruk di dalam jiwa peribadi diri. Jika berkehendak akan kebaikan, maka anda sendirilah menyuburkan benih-benih keharmonian dan untung baik nasib dalam diri sendiri.
Dalam diri manusia ini ada dua pengertian iaitu, "yang mencari" dan "yang dicari". Yang mencari itu hanya mengenal bayang-bayang sahaja tanpa mengetahui siapa empunya bayang-bayang tersebut. Yang dicari adalah manusia mengenal erti dan hakikat sebenar dimana letaknya tauhid wujudnya bayangan tersebut. Kenali diri sendiri akan mencetus pengenalan peribadi diri anda nanti.
Di dalam media sosial juga sering kali kelihatan luahan tentang permasalahan rumah tangga. Diceritakan di dalam Facebook atau Twitter mengenai salah laku pasangan masing-masing. Harap-harap pasangan dapat mesej kemarahan tersebut dan disimpati oleh orang ramai. Wah! Mudah sangat menempah tiket percuma ke neraka. Menceritakan keaiban di dalam rumah tangga di media sosial adalah sesuatu yang menjengkelkan dan dilarang sama sekali dalam syariat agama.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Jauhilah kamu daripada sangkaan kerana ia sedusta-dusta bisikan hati, janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, janganlah kamu mendengar-dengar cerita orang, jangan kamu berlumba-lumba untuk menunjukkan kekuatan di antara satu sama lain, jangan kamu dengki-mendengki, benci-membenci, bermusuh-musuhan dan jadilah kamu semua hamba Allah yang bersaudara."
(Hadis Riwayat Imam Malik, Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Perlu diketahui bahawa seorang isteri tidak boleh menceritakan aib suaminya meskipun kepada keluarganya kerana sepatutnya ia menjaga keharmonian dan keamanan serta ketertiban rumah tangga seperti yang digambarkan dalam firman-Nya dalam surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “..maka perempuan-perempuan yang solehah adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada..”
Para netizen semua, jagalah etika berinternet dan bersosial di dalam Facebook, Twitter dan sebagainya kerana hanya menyebabkan kemarahan daripada orang ramai. LIKE, SHARING atau KOMEN di dalam media sosial tanpa berfikir panjang lebih banyak mengundang dosa ke atas diri.
RasuIullah SAW pernah bersabda, “Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi saw. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah terlalu banyak seronok, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim”.
Jika anda tidak mampu menghadapi cabaran akhir zaman ini, tutuplah akaun Facebook ataupun Twitter daripada ianya menjadi tempat karungan "beg mengumpul dosa". Bukannya silap pada aplikasi media sosial Facebook atau Twitter tapi yang menjadi kesilapan besar adalah daripada anda sendiri kerana kurang bijak atau jahil dalam bermain permainan ini. Dosa antara manusia dengan Tuhan amat mudah untuk dipohon keampunan, tetapi dosa antara manusia dan manusia amat susah sekali untuk diselesaikan di atas dunia fana ini.
Selamat mencetus fikir semua....
No comments:
Post a Comment