Saturday 15 October 2016

Apa itu solat Jumaat ?

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Dengan nama Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Mengantikan Solat Jumaat ke Hari Sabtu ?

Nama lagi solat Jumaat, mengapa hendak dijadikan isu mengantikan solat ini kepada hari sabtu? Malaysia sebuah negara yang unik kerana rakyatnya meliputi pelbagai kaum, bangsa, keturunan dan agama. Namun, kepelbagaian masyarakat ini tidak menjamin semua rakyatnya memahami latarbelakang dan kebudayaan serta agama yang dianuti termasuk perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti agama yang diamalkan.

Akhir-akhir ini terdapat kecenderungan sesebuah pihak cuba mencampuri adat, peraturan dan agama yang dianuti sesebuah kaum. Antaranya ialah isu pertukaran hari melakukan solat Jumaat kepada hari cuti hujung minggu yang lain. Dalam agama Islam, terdapat beberapa perkara menjadi kewajiban dan perlu dilakukan dalam hidup selaku penganut Islam iaitu solat lima (5) waktu termasuklah kewajiban bersolat Jumaat pada hari Jumaat sahaja.

Untuk pemahaman penganut agama selain daripada Islam, solat Jumaat hanya sah dan wajib dilakukan pada hari Jumaat sahaja berpandukan kepada dalil yang telah ditetapkan oleh Tuhan sepertimana termaktud di dalam kitab suci Al Quran dan juga Hadis Nabi sepertimana berikut :
Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman (Lelaki dan perempuan)! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya]," (Surah Al-Jumu'ah: 9) 
Sabda Rasulullah SAW:
"Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia (Gugur jemaah, tapi wajib jumaat): hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." (Hadis Riwayat Abu Dawud & Hakim).
Apabila dikatakan dalil daripada kitab suci Al-Quran dan juga hadis sahih, kami selaku penganut agama Islam tidak boleh sewenang-wenangnya menukar ketetapan yang termaktud. Namun, penafsiran erti dan maksud kitab itu sendiri juga perlu diperhalusi oleh mereka yang pakar kerana Al-Quran dan hadis sahih adalah seperti perlembagaan Tuhan yang diturunkan untuk menjadi aturan kepada penganutnya dan hanya Tuhan berkuasa mutlak ke atasnya. Dalam hal ini, solat Jumaat hanya sah dikerjakan pada hari Jumaat sahaja.

Syarat wajib solat Jumaat
  • Islam - tidak wajib bagi orang kafir.
  • Baligh - tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
  • Berakal - tidak wajib bagi orang yang gila.
  • Merdeka - tidak wajib ke atas hamba abdi.
  • Lelaki - tidak diwajibkan berjemaah untuk orang perempuan.
  • Sihat - tidak wajib berjemaah bagi orang yang uzur dan berhalangan.
  • Bermastautin atau bermukim - tidak wajib berjemaah bagi orang yang musafir.

Syarat sah solat Jumaat
  • Didirikan di dalam waktu Zuhur.
  • Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
  • Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang beriman yang tinggal tetap di kawasan itu (menurut Mazhab Syafie).
  • Didahului dengan dua khutbah - rujuk (Khutbah Jumaat).

Selaku penganut Islam juga perlu memberi penerangan dengan betul dan penuh berhikmah kepada penganut agama-agama yang lain. Jangan melenting dan jangan sesekali mengutuk dan mencaci sembahan agama selain daripada Islam. Dalam kitab suci al-Quran telah menjelaskan bahawa :
Firman Allah SWT:
" dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan."(QS AL An'am:108)
Pesanan kepada penganut agama selain daripada Islam, berbincanglah dengan baik dan melalui saluran yang betul jika menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan Islam terutamanya di Malaysia. Sikap toleransi dan perbincangan secara tertutup lebih baik diamalkan di negara kita kerana rakyat Malaysia masih lagi diselubungi dengan syak wasangka antara satu sama lain. Umat Islam juga haruslah berpegang kepada ajaran Islam yang betul kerana hidup bermasyarakat secara aman dan jujur antara semua penganut agama lain amatlah perlu dijaga keharmonian hubungan tersebut.

Kepada penganut agama selain daripada Islam, lihatlah kepada isi kandung dan ajaran Islam itu melalui kitab suci dan hadis. Buatlah kajian terhadap kedua-dua sumber tersebut kerana jika penganut bukan Islam melihat ajaran Islam melalui penganut Islam, maka kesucian agama Islam tersebut tidak akan kamu dapati.

Salam 1 Malaysia.
Kita rakyat Malaysia perlu saling hormat menghormati antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment