Monday 17 October 2016

Hantar Anak Ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ?

Perkongsian menghantar anak ke sekolah jenis kebangsaan cina di kalangan masyarakat Melayu masih lagi menjadi fobia di kalangan kita. Adakah anak-anak kita akan menjadi mangsa keadaan atau dikriminisasi oleh kalangan pelajar yang majoriti Cina di sana ? 

Tidak sama sekali. Itu merupakan satu taboo atau fobia di kalangan masyarakat Melayu sahaja. Terus terang dikatakan, tiada masalah sedemikian berlaku kerana berdasarkan pengalaman menghantar anak-anak ke sekolah tersebut, layanan yang diberikan adalah sama dan tiada unsur perkauman yang timbul.


Gambar di atas merupakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Cheng yang terdapat di Kota Bharu. Pada hari pertama pendaftaran anak ke sekolah sana, ibu bapa dan cikgu-cikgu berbangsa Cina amat berbangga dan memberi sokongan kepada pelajar Melayu dengan memberi semangat hinggakan ada makcik berbangsa Cina memberi payung kepada kami untuk elakkan kami daripada basah terkena air hujan untuk memasuki sekolah tersebut. Kebetulan hari pendaftaran sekolah musim hujan masih berlangsung di Kelantan.


Meskipun ucapan pertama alu-aluan daripada Guru Besar semasa majlis pendaftaran sekolah menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya, bahasa Melayu diselit sebagai bahasa kedua dalam setiap ucapan. Tiada masalah perkauman sepertimana ditakuti oleh masyarakat Melayu. Apa yang diperhatikan di sekolah ini, hampir 40% pelajarnya terdiri daripada bangsa bukan Cina termasuk Melayu, Siam dan India. Ini lah pertama kali kami melihat pelajar-pelajar bergaul tanpa mengira bangsa samada Cina, Melayu, India atau Siam. Apa yang mereka mahukan adalah belajar dan bermain bersama.


Antara yang menjadi fobia kepada masyarakat Melayu apabila menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina adalah tentang makanan halal dan pendidikan agama. TIADA MASALAH LANGSUNG tentang hal ini. 100% makanan yang disediakan di kantin sekolah ini adalah makanan halal dan disediakan oleh pengusaha Melayu. Sekolah ini telah memikirkan aspek tersebut kerana mahu memberikan keselesaan kepada pelajar Islam. Berkenaan dengan pendidikan agama, sekolah ini amat menitikberatkan pengajian agama Islam kepada pelajar Islam termasuk mengikuti silibus yang disediakan oleh pihak kementerian. Terdapat kelas fardhu ain setiap petang dan juga diadakan kelas tulisan Jawi mengikut kalendar sekolah.

Berikut adalah tips yang dapat dikongsi sekiranya ingin menghantar anak ke sekolah Cina :
  1. Hantar anak-anak bertadika di sekolah ini seawal 5 tahun. Setiap sekolah Cina akan menyediakan tadika mereka tersendiri dan mengikut silibus yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Pendidikan Islam juga disediakan kepada pelajar tadika. Jangan khuatir, anak-anak yang dihantar ke tadika ini boleh belajar tentang agama seperti biasa.
  2. Pastikan ibu bapa turut serta dalam setiap aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah. Kenali cikgu dengan lebih dekat bertanyakan khabar selalu dengan cikgu kelas anak-anak.
  3. Pastikan buku-buku teks dan sebagainya lengkap dibawa ke sekolah. Disiplin di sekolah Cina amatlah tegas dan hukuman yang diberikan juga amat tegas.
  4. Mana-mana ibu bapa yang berkemampuan, hantarlah anak-anak ke Pusat Jagaan yang dikendalikan oleh pengusaha Cina. Di sini ada disediakan Pusat Jagaan yang mana pengasuh akan memantau anak-anak membuat kerja sekolah dan melakukan aktiviti ulangkaji pelajaran. Tentang makanan halal jangan khuatir. Tiada masalah langsung. Di sini, Pusat Jagaan Suria Bakti bersebelahan dengan sekolah ini memang menyediakan perkhidmatan yang terbaik.
  5. Cikgu - cikgu di sekolah Cina memang tegas mendidik pelajarnya. Janganlah ibu bapa terlalu sensitif kerana tujuan mereka hanyalah untuk mendidik. Peranan ibu bapa hendaklah memberi sokongan kepada anak-anak kerana dengan disiplin, anak-anak akan dapat dididik dengan jayanya. Apa yang diperhatikan, anak-anak menjadi skema sikit kerana terlalu tegas namun ada kebaikannya. Ibubapa seharusnya peka terhadap peraturan sekolah. Jangan hantar anak-anak lewat, rambut harus pendek seperti yang ditetapkan, kuku kena pendek, lencana dan tag nama harus dijahit kemas. Di hari murid-murid pakai baju sukan mesti pakai baju sukan.
Apa yang bagus apabila belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina adalah :
  1. Boleh belajar dwi-bahasa - Mandarin dan Melayu / English
  2. Boleh mengenali budaya dan bangsa lain - tiada lagi masalah perkauman
  3. Boleh belajar tentang cara hidup berdikari kerana ketegasan yang dipupuk di sekolah ini
  4. Aktiviti sukan yang aktif di sekolah Cina amat "tip top". 
  5. Tahap pemikiran anak-anak akan keluar daripada tempurung satu bangsa sahaja kerana pergaulan antara semua bangsa. Ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran iaitu :
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".
Surah al.Hujurat (13)

Anda mungkin meminati laman ini :

2 comments:

  1. Ibubapa seharusnya memikirkan yg terbaik untuk anak²... Thanks share eperience ini, sekurangnya keluarga² Malayu boleh jadikan ini sebagai panduan nanti...

    ReplyDelete
  2. macam mana nk daftar masuk sekolah tu??

    ReplyDelete